Tuesday, 21 July 2015

TAUBAT






Assalamualaikum,

Alhamdulillah syukur padaNya masih diberi kesempatan untuk menulis entri bertajuk taubat. Saya menulis sebagai hamba Allah yang juga pernah berbuat dosa, dan tidak akan lari daripada kesilapan. Jadi saya tulis entri ini untuk pembaca mendapat manfaat dan terinspirasi supaya bertaubat sesungguhnya taubat kepadaNya (At-Tahrim, 66 : 8).

Soal taubat, hukum taubat kepada Allah adalah wajib. Kerana apa? Kerana kita ini manusia, dan tidak akan pernah lari daripada kesilapan yang membuatkan Allah marah. Maka lazimi taubat. Sedarlah bahawa kita ini cuma hambaNya yang marhaen dan tidak sempurna, sudahlah sering berbuat dosa, masih sombong untuk bertaubat.

Sedang Rasulullah saw. manusia yang sempurna pun bertaubat 70 kali, ada riwayat mengatakan 100 kali.

Abu Hurairah ra. berkata, "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, 'Demi Allah, sesungguhnya, aku membaca istighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali." (Sumber Riyadhus Shalihin) (HR Bukhari)

Al-Aghar bin Yasar Al-Muzani ra. berkata bahawa Rasulullah saw. bersabda, "Hai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mintalah ampunan kepadaNya. Sesungguhnya, aku bertaubat seratus kali dalam sehari." (Sumber Riyadhus Shalihin) (HR Muslim)

Maka tidak ada alasan untuk kita tidak bertaubat kepada Allah. Maka bertaubatlah kepada Allah sebenar taubat kerana Allah amat gembira menerima taubat daripada hambaNya,

Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah Ta'ala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan kembali barangnya yang hilang." (Sumber Shahih Muslim, no 2362) (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah ra. katanya Nabi saw. bersabda: "Tatkala menciptakan makhluk, Allah Ta'ala telah menulis dalam buku yang tersimpan di 'Arasy, " Sesungguhnya rahmat (Kasih Sayang)-Ku lebih besar daripada murka-Ku." (Sumber Shahih Muslim, no 2365) (HR Muslim)

Di sini saya ingin menyatakan bahawa Allah amat-amat merindui rintihan hambaNya untuk kembali kepadaNya. Wahai sahabatku, cukuplah seharian kita sudah jauh daripada Allah, refleksi diri, adakah apa yang telah aku buat sepanjang ini membuatkan Allah murka? Bilakah kali terakhir aku menangis kerana Allah? Kerana dosa ku yang lalu? Allahu...

Pelbagai persoalan yang timbul, antaranya;


APAKAH MASIH SEMPAT UNTUK SAYA BERTAUBAT?

Maka saya jawab;

"Abu Hurairah ra. berkata bahawa Rasulullah saw. bersabda, " Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari arah barat, maka Allah akan menerima taubatnya." (Sumber Riyadhus Shalihin) (HR Muslim)

Abu Musa, Abdullah bin Qais Al-Asy'ari ra. berkata bahawa Nabi saw. bersabda, "Allah membentangkan tangan-Nya di malam hari agar orang yang berbuat keburukan di siang hari bertaubat, dan membentangkan tangan-Nya di siang hari agar orang yang berbuat keburukan di malam hari bertaubat. (Ini akan terus berlaku) hingga matahari terbit dari arah barat." (Sumber Riyadhus Shalihin) (HR Muslim)


ADAKAH ALLAH AKAN TERIMA TAUBAT AKU YANG BANYAK DOSA INI?

"Seseorang telah bertanya kepada Rabiatul Adawiyah; "Aku sering berbuat dosa dan aku menjadi semakin tidak taat. Tetapi, andai aku bertaubat, adakah Allah akan mengampuni aku?", Rabiatul Adawiyah menjawab: " Tidak! Tetapi, apabila Allah ingin mengampunkan kau, maka, kau akan bertaubat..."


ADAKAH MEMADAI AKU BERTAUBAT HANYA ISTIGHFAR SETIAP HARI?

Taubat, bukan hanya sekadar istighfar sahaja. Taubat yang ikhlas ada beberapa syarat. Antara tiga syarat taubat ialah,

1) Mengaku salah kepada Allah swt.
2) Minta ampun kepada Allah swt.
3) Menyesal dan berazam untuk tidak akan mengulangi lagi.

Ini baru dikatakan ikhlas taubat kepada Allah.


APAKAH MEMADAI SEKIRANYA AKU TAUBAT BILA DAH TUA? SEBAB AKU MASIH PUNYA WAKTU YANG PANJANG LAGI.

Siapakah di antara makhluk Allah yang bernyawa yang boleh jamin, esok masih miliknya?
Ajal dan maut itu adalah rahsiaNya. Sedang Malaikat Maut pun tidak mengetahuinya. Malaikat maut hanya menjalankan tugasnya sebagai pencabut nyawa. Bila sampai arahan daripada Allah, maka tibalah saatnya menghadap Allah dan ia tidak lambat sesaat dan tidak cepat sesaat sekalipun.

Maka jangan pernah bertangguh dalam bertaubat. Sebagaimana kita sering buat dosa, sebegitu jugalah kita kena sering bertaubat. Kerana kita khuatir, andai kita terpaksa pergi dalam keadaan kita belum sempat bertaubat kepada Allah swt.

Dan taubat ini, perlu dilazimi setiap masa setiap hari. Sebab apa, bayangkan kita nak tunggu dah tua baru nak taubat, saat itu hati kita telah keras dek kerana maksiat yang bermaharajalela dalam hati kita membuatkan hati kita keras dan hitam.

"Bayangkan, kita beli kuali baru. Kemudian kita masak. Kita dapati bahagian bawah kuali tu hitam. Kita pun cuci, dan ia kembali bersih seperti tadi. Tapi, kalau kita biar, kita masak dan masak sehingga ia jadi hitam pekat, kemudian kita cuci, hitam tu still melekat even dicuci sebab ia dah sebati dengan bahagian bawah kuali tu. Samalah seperti hati."

Maksudnya di sini, kita perlu taubat setiap kali kita buat maksiat, terus taubat jangan tangguh untuk bertaubat.


SAYA NAK BERUBAH, ADAKAH PERLU SAYA BERUBAH SECARA DRASTIK ATAU SLOW-SLOW?

Saya akan jawab, kita perlu berubah terus mengikut apa yang kita tahu.
Ha? Terkejut tak. Gila ke? Bukan ke kena berubah secara slow-slow?

Okay saya beri penjelasan, kita perlu berubah mengikut apa yang kita tahu, mengikut ilmu pengetahuan kita. Contohnya, jika dulu kita solat tak pernah, maka kita perlu solat terus 5 waktu. Bukan 1 waktu, kemudian dah istiqomah 1 waktu, istiqomah 2 waktu pula. Saya jawab tidak! Kita perlu terus berubah terus mengikut apa yang kita tahu dan istiqomah. Seperti kita tahu, solat diwajibkan 5 waktu, maka kita perlu terus solat 5 waktu.

Contoh kedua tudung. Kita tahu yang kita perlu tutup aurat, berpakaian yang labuh dan longgar serta menutup dada bagi perempuan. Maka kita perlu berubah terus, tak boleh hari ini tudung paras tengkuk, esok paras dada tapi baju ketat. Dah istiqomah, istiqomah pula untuk baju labuh. Tidak! Kita perlu berubah mengikut apa yang kita tahu.


MENGAPA PERUBAHAN SAYA TIDAK ISTIQOMAH? SAYA DAH CUBA TAPI TIDAK BERTAHAN LAMA.

Okay ada orang dia berubah dia boleh istiqomah, ada orang pula dia berubah dia tidak dapat istiqomah. Punca kita tidak dapat istiqomah bukan disebabkan kita berubah secara terus. Tetapi disebabkan kita tidak faham matlamat kita berubah.

Ada orang dia berubah ikut kawan. So perubahan dia tak strong lah, bila kawan dia dah tak berubah, dia pun ikut tak berubah.

Ada juga orang, dia berubah sebab nak pujian. Bila kena kutuk je, down.

Ada orang pula dia berubah sebab kena paksa. So bila takde orang nak paksa, dia tak berubah.

So punca sebenar kita tidak istiqomah adalah disebabkan kita tidak faham dengan jelas apa matlamat kita berubah.

Tetapi jika kita faham dengan jelas apa tujuan dan matlamat kita berubah, kita akan dapat istiqomah walau datanglah ujian berliku kepada kita, pegangan kita akan teguh sebab kita faham sebab apa kita berubah.

Dan dengarlah kebanyakan cerita para Sahabat, bilamana diorang jika dapat perintah daripada Allah supaya menutup aurat, TIME tu juga diorang berubah terus menutup aurat. Sebab apa, sebab diorang faham dan jelas sebab kenapa diorang nak berubah.


KENAPA EH BILA AKU SOLAT SUNAT TAUBAT TAPI AKU TAK RASA KETENANGAN MACAM ORANG KATA BILA BERTAUBAT DAN DEKAT PADA ALLAH KITA AKAN RASA TENANG?

Okay, ada orang dia solat untuk mendapat ketenangan. Tapi bila dia solat, dia tak rasa tenang and then terus taknak solat.

First thing kena clear, yang solat ini adalah perintah daripada Allah. Allah tak suruh kita solat semata-2 untuk mendapat ketenangan. Perintah suruh solat ini kerana ianya adalah perintah daripada Tuhan. Macam saya katakan tadi, kita tidak faham dengan jelas matlamat kita solat.

Kita kena faham yang matlamat kita beribadat ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, hanya kerana Allah Ta'ala sahaja. Tiada sebab lain. Dan ketenangan, kebahagiaan, itu adalah bonus atau ganjaran bagi mereka yang melaksanakan perintah Allah hanya kerana Allah, ibadat yang ikhlas kerana Allah dan mereka layak mendapatkan bonus itu, iaitu mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah.


SUSAH AH MACAM NI BRO, KALAU MACAM TU APA MATLAMAT KITA HIDUP INI...

Surah Adh-Dhariyat, surah ke 51 di dalam al Quran. Di dalam ayat yang ke 56, Allah ada menyatakan mengapa Allah ciptakan manusia dan jin, kalau bukan supaya mereka taat dan patuh pada perintah Allah, supaya menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Supaya mengabdikan diri kepada Allah. Itu tujuan hidup kita di atas dunia Allah yang sementara dan tidak kekal abadi ini.
Terus terang saya kata, jikalau kita hidup atas dunia ini hanya untuk bersenang-lenang, nak bahagia sahaja, nak happy, nak seronok. Sorrylah, itu bukan di dunia, tapi kita boleh kecapinya di akhirat kelak.

Dunia ini, penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. Kalau kita nak tenang nak puas, itu bukan di dunia, itu di syurga nanti.

Kalau kita hidup nak bahagia sahaja, itu bukan dunia namanya, itu syurga. Dan tidak ada cara lain untuk masuk syurga adalah dengan takwa kepada Allah. Tidak ada cara lain selain kita kena bersusah payah di dunia dahulu. Kunci untuk kita masuk syurga adalah dengan rahmat Allah sahaja. Dan di syurga sana lah tempat istiherat kita.


TAPI BRO, AKU NI BANYAK DOSA. SETIAP HARI BUAT DOSA. APATAH LAGI DOSA AKU YANG DULU BERTIMBUN, ADAKAH ALLAH AKAN AMPUNKAN AKU?

Wahai sahabatku, ketahuilah bahawa setiap kali hamba Allah itu datang kembali pada Allah meminta ampun dan taubat sesungguh taubat yang ikhlas, Allah memandang hambaNya itu seperti tidak pernah berbuat dosa pun, seperti baru semalam je dia buat dosa walhal dosanya bertimbun. Ini menunjukkan yang Allah tidak akan pernah berhenti menerima taubat daripada hambaNya.


PESANAN SAYA,

Sentiasalah lazimi taubat dan bersangka baiklah kepada Allah. Dan hargailah dan manfaatkan nikmat taubat yang Allah beri ini. Jangan jadi orang 'bodoh' yang menggunakan nikmat taubat Allah ini sebagai jalan untuk dia terus menerus melakukan maksiat. Malulah kepada Allah swt. Akhir sekali, pesanan saya, ingatlah bahawa pintu taubat itu tidak akan terbuka dengan hanya sekali ketuk. Tetapi pintu taubat akan terbuka setelah ia diketuk berkali-kali.

No comments:

Post a Comment