Thursday, 1 October 2015

Serikandi Islam, Rabiatul Adawiyah






Serikandi Islam, Rabiatul Adawiyah.

Rabiatul Adawiyah, beliau merupakan puteri bongsu daripada 4 puteri Ismail al-Adawiy. Ismail al-Adawiy dan isterinya tinggal di sebuah pondok bersama 3 orang puteri mereka di hujung sebuah perkampungan di kota Basrah iaitu di Iraq.

Disebabkan kedhaifan keluarga mereka, menyebabkan Ismail al-Adawiy agak sukar untuk mempersiapkan kelengkapan untuk cahaya mata yang bakal mereka dapat kelak. Isteri Ismail amat berharap agar bayi yang bakal lahir itu kelak adalah seorang lelaki kerana seandainya mereka mendapat bayi lelaki, kelak bayi lelaki ini dapat melindungi kakak-kakak mereka apabila besar kelak.

Genap sembilan bulan, sekitar abad ke delapan tahun 713 - 717 masihi maka lahirlah seorang lagi ahli baru di dalam keluarga Ismail al-Adawiy, anak tersebut merupakan anak bongsu di dalam keluarga daripada 4 adik beradik dan bayi tersebut disambut dengan begitu meriah oleh kakak-kakaknya. 

Tahukah anda, bahawa ketiga-tiga puteri Ismail al-Adawiy, termasuklah puterinya yang keempat, Ismail al-Adawiy lah yang menjadi bidan untuk isterinya kerana ketiadaan wang untuk mencari bidan. Dan Ismail al-Adawiy jugalah yang telah mengiqamatkan keempat-empat puterinya.

Isteri Ismail amat berharap bayi bakal dilahirkan itu adalah lelaki, namun tarbiah yang diterapkan di dalam keluarga Ismail sangat hebat dan isterinya hanya redha kerana anak itu anugerah dari Allah untuk mereka sekeluarga. Fahamlah isterinya bahawa anaknya itu adalah seorang perempuan apabila telah ditenangkan oleh Ismail. Namun kehidupan mereka hanya cukup untuk menampung keadaan keluarga mereka yang sedia ada dan tak mampu untuk menyediakan walau sehelai kain untuk bayi yang baru dilahirkan itu. Ismail al-Adawiy terpaksa meminta daripada jiran-jirannya untuk meminta bantuan kain dan sedikit minyak untuk bayi mereka yang baru tersebut.

Namun Ismail pulang dengan kekecewaan apabila mendapati kesemua jiran mereka tidak sudi untuk membantu mereka beralasan bahawa mereka juga miskin dan tidak mampu untuk memberi kerana mereka juga serba kekurangan. Meski tiada yang sudi membantu, Ismail dan isterinya tetap redha dan bersangka baik. Mereka membaluti bayinya itu dengan sedikit kain yang mereka pakai. Mereka sentiasa husnudzon (bersangka baik) barangkali Allah SWT mahu mempelihara mereka dan bayi mereka itu daripada sebarang pemberian yang syubhah, yakni tidak tahu halal dan haramnya.

Rabiatul Adawiyah atau Rabiah, nama tersebut telah dicadangkan oleh suaminya sempena anak mereka yang keempat dan Rabiah membawa maksud yang keempat. Namun isteri Ismail agak ragu-ragu untuk bersetuju kerana beliau amat khuatir sekiranya Rabiah kelak bakal diejek dan ditertawa oleh rakan-rakannya. Ketaatan isteri terhadap suami amat tinggi pada isteri Ismail dan beliau redha apa sahaja keputusan yang dibuat oleh suaminya itu.

Sejak kelahiran Rabiah, Ismail al-Adawiy sudah beberapa hari tidak keluar mencari rezeki. Ismail sememangnya dikenali ramai kerana beliau merupakan seorang pekerja yang rajin dan dipercayai oleh masyarakat di Basrah. Selain itu, Ismail juga adalah seorang yang alim lagi abid di dalam kalangan mereka. Beliau sanggup mengambil upah kerja apa sahaja asalkan pekerjaan itu tidak terlibat dengan perkara haram. Disebabkan bekalan makanan di rumah mereka sudah berkurangan, beliau terpaksa untuk keluar mencari sesiapa sahaja yang sudi mengupahnya bekerja.

Rezeki setiap hamba telah ditetapkan oleh Allah SWT, ditakdirkan sedang Ismail mencari, beliau didatangi oleh seorang pemuda lalu memberi salam kepadanya dan bertanyakan adakah beliau sanggup untuk diambil upah bekerja sebagai guru bagi mengajar ilmu al-Quran kepada anak-anak Tuan pemuda tersebut. Tuan pemuda tersebut merupakan seorang saudagar kain dan Ismail lantas sahaja bersetuju dan semakin hari semakin ramai yang menjadi anak muridnya tidak kira umur dan latar belakang, malah mereka gembira dapat mempelajari ilmu al-Quran dari beliau apabila telah disarankan oleh penduduk kampung kepada pemuda tersebut.

Telah ditakdirkan Allah juga, Ismail telah mendapat mimpi yang aneh pada suatu malam. Ismail al-Adawiy merupakan seorang hamba yang sentiasa menjaga amalannya seperti tadarus membaca al-Quran di waktu malam sebelum beliau tidur dan bangkit semula di dua pertiga malam bagi mengerjakan solat sunat tahajjud. Beliau telah bermimpi di datangi oleh seorang tetamu yang sangat istimewa, iaitu Nabi Muhammad S.A.W.
Di dalam mimpinya beliau menyatakan bahawa Nabi Muhammad berpesan kepadanya agar tidak bersedih dengan kesusahan yang mereka alami apabila hadirnya Rabiah di dalam keluarga mereka. Ini kerana puteri bongsu mereka, Rabiah, kelak bakal menjadi seorang wanita yang terhormat dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan Rasul-Nya. Malah Rasulullah juga mengkhabarkan bahawa umat baginda dengan jumlah 70 puluh ribu orang memerlukan syafaat daripada Rabiah di akhirat kelak. Di dalam mimpi tersebut juga terdapat pesanan Rasulullah agar Ismail mengutuskan surat tentang apa yang berlaku padanya malam tersebut dan dan segera berjumpa dengan penguasa Basrah, Sultan Isa Bajan.

Peristiwa Ismail bertemu dengan pemimpin Basrah, Sultan Isa Bajan telah menjadi peristiwa aneh buat semua para menteri yang hadir di dalam mesyuarat tersebut kerana dikatakan sewaktu itu Sultan Isa Bajan sedang mengadakan mesyuarat bersama menteri. Dan apabila sampai sahaja surat tersebut kepada Sultan, beliau terus turun bersama para penasihatnya bertemu Ismail di pintu pagar istana bersama 400 dinar kepada si pembawa surat. Ismail seraya pelik tentang wang yang diberikan secara tiba-tiba setelah Sultan membaca surat tersebut yang berbunyi:

“Tuanku sudah melaksanakan solat sunat setiap malam seratus rakaat dan pada setiap malam Jumaat empat ratus rakaat. Namun pada malam Jumaat lepas, tuanku sudah meninggalkan empat ratus rakaat yang sepatutnya dilakukan. Oleh yang demikian, tuanku dikifarahkan sebanyak empat ratus dinar di atas kelalaian pihak tuanku dan duit itu perlu diserahkan kepada pembawa surat ini.”

Hal ini membuatkan Sultan Isa Bajan bertambah pelik bagaimana ada orang boleh mengetahui perihal amalannya sedangkan hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui setiap amalan hambaNya. Namun setelah diceritakan bahawa Ismail telah bermimpikan Rasulullah, maka tidak syak lagi ia adalah benar dan sahih.

Rabiah semakin membesar namun pengalaman kanak-kanak bagi Rabiah amat berbeza dengan kanak-kanak yang lain. Sewaktu beliau berumur 10 tahun, Rabiah sudah menghafal sebanyak 30 juzuk al-Quran sedangkan waktu itu kanak-kanak lain sedang sibuk bermain. Dikatakan juga oleh isteri Ismail bahawa Rabiah tidak pernah sesekali meminta malah merungut atas apa sahaja pemberian kepadanya. Dirinya sibuk mempelajari ilmu akhirat sejak dari kecil lagi. Maka Ismail bercadang agar Rabiah mengasingkan diri daripada dunia kota Basrah yang penuh dengan ujian dan dugaan. Ismail membina sebuah surau di luar kota dan atas permintaan Rabiah agar beliau dapat menetap terus di sana diperkenankan oleh Ismail agar Rabiah dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengabdiannya kepada Rabb.

Maka saat ujian pertama menimpa Rabiah ialah sewaktu pemergiaan bapanya, Ismail al-Adawiy yang telah pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Dikatakan bahawa sewaktu pemergian Ismail, hampir semua ulama’, orang soleh, ahli ibadah dan golongan pemerintah di Basrah juga turun bagi membantu mengebumikan Ismail al-Adawiy yang zuhud dan alim di kalangan masyarakat Basrah. Ditelusuri pula isteri Ismail juga telah pergi meninggalkan mereka setelah pemergiaan Ismail al-Adawiy.

Kakak-kakak Rabiah semakin risau akan Rabiah yang sering berpuasa dan beribadat sahaja sehingga kurang makan dan minum. Rabiah juga digambarkan beliau asyik berzikir dan beliau tidak sedikit pun menitiskan air mata sewaktu pemergian kedua ibu bapanya. Namun bukanlah kerana beliau tidak sedih tetapi kerana kecintaan Rabiah kepada Allah itu melebihi kecintaannya terhadap apa sahaja di dunia. Tidak juga dinafikan bahawa Rasulullah tidak melarang umatnya untuk menangis apabila adanya pemergiaan di antara sesama kita namun kita dilarang untuk meratap.

Turunlah ujian kedua terbesar bagi Rabiah dan kakak-kakaknya iaitu kemarau yang menimpa seluruh kota Basrah ketika itu menyebabkan mereka kehabisan bekalan makanan dan akhirnya mereka bersetuju untuk keluar bersama-sama untuk mencari sebarang pekerjaan untuk diambil upah untuk membeli barang makan buat bekalan sementara waktu. Namun benarlah kata Rabiah bahawa iman manusia ini sebenarnya nipis, ini dapat dibuktikan apabila hampir ke semua masyarakat kota Basrah menjadi kedekut dan bakhil akan bekal makanan yang mereka ada. Rabiah dan kakak-kakaknya tidak mahu meminta melainkan mereka telah berusaha untuk memperolehnya dengan mengambil kerja upahan. Namun kemarau yang melanda telah merosakkan tanaman penduduk di kota Basrah menyebabkan mereka tidak dapat memperoleh sebarang pekerjaan dan mereka pulang ke pondok using pusaka ayahnya dengan kekecewaan namun mereka tetap redha dan sentiasa bersangka baik sambil membutirkan zikir di bibir.

Pernah diceritakan bahawa Rabiah pernah diculik sewaktu beliau sedang berjalan menulusuri di sebuah lorong sunyi dan tiba-tiba matanya menjadi kabur apabila merasakan seperti dipukul di kepalanya lantas terus pengsan. Setelah sedar beliau dapati bahawa dirinya telah diculik dan dia bakal dilelong kepada orang-orang kaya, tambahan keadaan kemarau yang menimpa menyebabkan orang ramai memerlukan wang untuk membeli bekalan makanan buat tempoh masa yang panjang. Namun Rabiah tetap senyum dan tenang kerana Rabiah yakin Allah amat menyayanginya kerana itulah beliau diuji dan beliau tahu bahawa selamanya beliau tidak akan ditimpa ujian kerana akan datang rahmat Allah kelak dan Rabiah telah dijual oleh seorang lelaki gemuk.

Namun ketabahan Rabiah amatlah luar biasa, meski dikeji dan dicela oleh majikannya, dijadikan mangsa melepaskan geram oleh tuannya, Rabiah masih tetap tabah dan sentiasa memotivasikan dirinya dengan kisah-kisah daripada al-Quran dan hadis-hadis. Seluruh darah dan detik nadi hanya mengalir juga berdenyut pada rasa ingat,rindu dan cinta kepada Allah SWT. Rabiah selalu bersyair dalam munajatnya yang berbunyi,

“Tuhan, aku adalah si miskin yang terdampar,
Diseksa dan dihina malah dipukul,
Diriku dibelenggu oleh perhambaan,
Nilai kemerdekaan yang Engkau kurniakan sudah diragut,
Aku juga menampung segala derita,
Aku tetap sabar menerima dan menahannya,
Namun, sekiranya singgah lagi ujian derita,
Yang menodai jiwa dan menipiskan kesabaranku,
Yang lebih perit deritanya daripada apa yang mampu  ditanggung,
Ia merobek dan menghancur luhurkan batinku,
Ikhlas dan sabarku senipis salju,
Tuhanku, gerangan apakah kebimbangan ini?
Akan berubahkan pandanganMu kepada diriku?”

Itulah kemabukan cinta yang paling agung, dan orang yang layak merasainya adalah Rabiah al-Adawiy.
Saban hari Rabiah sering berdoa agar dibebaskan daripada menjadi hamba kepada makhlukNya sedang beliau mendambakan waktu sepenuhnya untuk mengabdikan diri sebagai hamba kepadaNya sahaja.

Suatu hari sewaktu Rabiah diarah agar ke pasar untuk membeli barang dapur tuannya, beliau telah melalui sebuah lorong sunyi dan tiba-tiba muncul seperti kelibat seorang lelaki yang berwatakkan yang mencurigakan, Rabiah mengesyaki dia ada berniat tidak baik kepadanya. Namun ditakdirkan Allah SWT sewaktu sahaja lelaki itu cuba mendekatinya penduduk kampung datang dan segera menyergah dan menangkap lelaki tersebut. Seusai pulang Rabiah dimaki dan dihamun oleh tuannya kerana pulang lewat dan tuannya juga perasan akan balutan yang ada pada tangan Rabiah. Tangan Rabiah telah patah akibat daripada peristiwa dilorong tadi dan telah dirawat oleh seorang wanita. Perbicaraan oleh tuan dan isteri tuannya itu membualkan soal Rabiah walaupun sudah cedera namun masih lagi gagah dan kuat beribadah seperti membaca Quran dan solat. Itu telah menimbulkan kehairanan bagi mereka adakah Rabiah tersebut adalah wali Allah? Maka celakalah bagi mereka sekiranya mereka dapati Rabiah adalah waliyallah kerana mereka telah melayan seorang waliyallah dengan layanan yang teruk sekali.
Sesuatu yang aneh telah berlaku pada suatu malam apabila tuannya mendengar suatu alunan suara yang merdu sepertinya di bilik Rabiah dan mendapati bahawa Rabiah sedang sujud berdoa kepada Allah. Badan lelaki menggeletar seluruh tubuhnya dan kembali ke bilik lantas memberitahu isterinya bahawa mereka dalam masalah yang besar kerana benarlah Rabiah itu adalah waliyallah kerana terdapat peristiwa aneh yang berlaku sewaktu di bilik Rabiah. Lampu api yang dibekalkan oleh tuannya kepada Rabiah hanyalah lampu pelita yang kecil namun sewaktu tuannya itu sedang melihat Rabiah dibiliknya, seolah-olah lampu itu menyala sangatlah terang dan seakan mahu menerkamnya dan memberitahunya bahawa dia tidak layak berada di situ.

Dengan izin Allah SWT, akhirnya Rabiah telah dibebaskan dan Rabiah membuat keputusan mahu pulang ke kota Basrah. Dengan bantuan kabilah di sana beliau pulang semula ke kota Basrah dan segera ke pondok using pusaka ayahnya namun kakak-kakaknya telah lama meninggalkan pondok tersebut setelah mendapati kehilangan adik mereka iaitu Rabiah, dikatakan oleh jirannya. Rabiah cuba untuk menyara diri namun tiada pekerjaan yang dapat dilakukannya kerana pekerjaan di kota telah dimonopoli oleh lelaki.

Saat itu kota Basrah amat dipengaruhi dengan aliran sufi yang berkembang. Salah seorang ulama’ yang berjaya mendapat perhatian penduduk Basrah adalah Syeikh Hasan bin Abi Hasan. Suasana kota Basrah telah berubah, penduduknya berpakaian pakaian seperti orang yang zuhud kerana pengaruh tarekat sufi yang ada di kota tersebut. Rabiah di sarankan untuk menyertai kumpulan zikir yang diketuai oleh Syeikh Hasan bin Abi Hasan lalu Rabiah telah bertanyakan kepada para ulama’ dan para alim di kota tersebut. Jawapan yang beliau peroleh bergantung kepada siapa beliau bertanyakan kerana terdapat pelbagai jawapan yang berbeza dan memeningkan. Lalu Rabiah melakukan istikharah meminta petunjuk daripada Allah SWT dan ternyata jiwanya yang halus amat sesuai dengan aliran sufi.

Nama Rabiah sering kali disebut-sebut oleh masyarakat Basrah kerana kehandalannya dalam mengalunkan bunyi seruling dan zikir yang dapat mengembalikan rindu seseorang hamba itu kepada Allah. Bermakna kemerduannya tidak asing, dapat mememabukkan seseorang itu untuk berzikir mencintai Allah SWT. Malah bukan sahaja rakyat biasa yang menghadiri majlis zikir itu, malah para ulama’ kota Basrah juga turut menghadirkan diri bersama-sama bermunajat membasahi bibir dengan alunan zikrullah. Rabiah kini diangkat darjatnya sebagai ulama’ kerana ilmunya yang hebat dan beliau sering didatangi oleh para ulama’ serta gurunya sendiri juga merujuk dan berguru dengannya kerana ilmunya terutama dalam bidang kesufian yang setaraf dengan para ulama’.

Rabiah juga dikurniakan seorang anak murid yang bernama Abdah atau nama sebenarnya Abdah binti Abi Syawal yakni anak murid pertama dan paling lama dengannya. Rabiah memilih Abdah kerana sifat yang ditonjolkan oleh Abdah ada mirip dengan dirinya. Menurut Abdah, Rabiah yakni gurunya telah berhenti daripada menyertai majlis zikir kerana beliau sudah nampak kesan yang selama ini ditakuti olehnya. Kata Rabiah kepada Abdah, beliau amat takut sekiranya mereka yang hadir ke majlis zikir itu kerana dirinya bukan kerana Allah, Rabiah khuatir mereka menganggap nikmat zikir itu dapat dirasakan apabila dengan seruan dan tiupan seruling Rabiah walhal ianya hanyalah penyebab. Pernah diceritakan bahawa telah datang sekumpulan wanita datang memujuk Rabiah namum pendirian Rabiah tetap kerana beliau mahu menghabiskan masa beruzlah atau terus mengabdikan diri kepada Allah secara berterusan dan majlis zikir tersebut beliau telah serahkan kepada sesiapa sahaja yang selayaknya agar mereka yang hadir majlis zikir itu dapat tajdid (perbaharui) semula niat mereka kerana Allah SWT sahaja.

Abdah merupakah insan yang paling rapat dengan Rabiah dan beliau telah menghabiskan masa mudanya bersama Rabiah. Abdah merupakan tempat orang ramai bertanyakan perihal gurunya kerana Abdah adalah orang yang paling rapat serta paling dipercayai. Menurut Abdah binti Abi Syawal, gurunya itu, Rabiah, tidak pernah menghabiskan waktu malamnya selepas waktu Isha’ melainkan dengan solat dan ibadah sehingga fajar. Lalu Rabiah akan berehat sebentar dengan melelapkan matanya. Hanya seketika kemudian, guru bangkit dan seraya bersyair,

“Wahai diri,
Berapakah lamanya kau perlukan bagi melelapkan dirimu,
Sampai bila pula dirimu akan terbaring,
Hampir sahaja dirimu terlelap lena dalam perbaringanmu,
Hampir juga terus engkau tidak mampu bangkit,
Kecuali tatkala sangkala ditiupkan,
Ketika manusia lena dibuai nikmatnya tidur,
Maka bangkitlah diri ini dan wajibkan dirimu,
Kerana diri ini akan mendatangi-Nya”

Lama kelamaan kedewasaan Rabiah telah mencapai umur yang mana orang kata sudah molek untuk berumah tangga. Namun bagi Rabiah, perkahwinan adalah satu tuntutan fitrah malah ia juga sunnah bagi melengkapkan fitrah manusia namun bukan bagi Rabiah kerana nafsu Rabiah telah lama ditundukkan kerana beliau sudah mendapat cinta yang Hakiki. Ramai yang telah cuba untuk masuk meminang Rabiah, namun kesemuanya pulang dengan kekecewaan. Begitu jugalah bagi Sultan Muhammad Hasyimi yakni Raja di kota Basrah ketika itu, lamaran baginda juga ditolak dengan lembut oleh Rabiah, fahamlah raja tersebut bahawa maqam Rabiah terlalu tinggi dan beliau tidak layak untuk Rabiah.

Pernah juga diceritakan bahawa Abdul Wahid bin Zaid yakni sahabat seperjuangan Rabiah sewaktu beliau bersama-sama menuntut ilmu bersama Rabiah dahulu juga pernah cuba untuk melamar Rabiah dengan cubaan pertamanya beliau telah menghantar anak pondoknya iaitu Abdullah untuk menyampaikan hasratnya itu lantas ditolak dengan lembut. Namun sikap tidak putus asa Abdul Wahid menyebabkan beliau telah mencuba kali kedua dan beliau telah ditolak dengan keras oleh Rabiah kerana tidak mempercayai bahawa dia sanggup melakukan sebegitu meski beliau sudah memahami bagaimana Rabiah itu sewaktu mereka bersama-sama menuntut ilmu.

Suatu hari Hasan Al-Basri iaitu seorang ulama di kota Basrah telah datang melawat Rabiah. Pernah ditanyakan kepada Rabiah adakah Rabiah mahu bernikah namun jawab Rabiah tenang sahaja kerana beliau tidak memerlukan perkahwinan tambahan beliau sudah bernazar agar tidak akan berkahwin sehingga akhir hayat dan mahu mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah sepanjang hidupnya.

Rabiah sangatlah zuhud dikalangan para ulama dan ahli ibadat di kota Basrah. Dikatakan rumah Rabiah tidak mempunyai sebarang perabot melainkan tikar lama yang diperbuat daripada pelepah tamar. Kedhaifan hidup Rabiah telah didatangi ramai pengunjung yang mahu menyedekahkan makanan, serta wang untuknya kerana kasihan melihat Rabiah yang hidup miskin. Namun tiada satu pun hadiah yang diterima oleh Rabiah.

Pernah suatu hari Sufian Al-Tsauri, ulama sufi datang bertemu Rabiah. Pelbagai persoalan ditanyakan kepada Rabiah. Jika mahu diceritakan terlalu banyak namun yang menarik bagi saya ialah apabila Rabiah ditanyakan soalan berkaitan soal pemurah bagi Rabiah oleh Sufian al-Tsauri, jawab Rabiah ialah,

“Pemurah itu maksudnya apabila kita mengabdikan diri semata-mata kerana mengharapkan cinta daripada Allah. Pada masa yang sama, kita tak sekalipun mengharap balasan daripada-Nya.”

Suatu hari pernah sekali rumah Rabiah dicerobohi pencuri, namun keadaan rumah yang gelap menyebabkan pencuri tidak menyedari keadaan Rabiah di sana. Pencuri itu datang dengan penuh harapan namun apa yang mereka dapat adalah kekecewaan dan hampa kerana yang ada di dalam rumah tersebut hanyalah sebuah takar diperbuat daripada tanah sahaja.

Tiba-tiba muncul satu suara menyuruh mereka agar mengambil sesuatu dari rumah itu dan pulang dengan sesuatu lantas pencuri itu mencari lagi dan yang mereka dapati hanyalah sebuah takar tadi sahaja. Lantas Rabiah menyuruh mereka ambil takar itu dan segera ambil wudhuk dan lakukanlah solat sunat dua rakaat. Dengan cara itu mereka akan pulang dengan sesuatu. Namun kata-kata itu bak anak panah yang menusuk sanu bari, tepat.  Tanpa dipaksa menurut kata-kata Rabiah, mereka segera melakukan solat sunat dua rakaat. Usai itu Rabiah terus mengangkat tangan dan menadahkan tangan seraya berdoa dengan sebak,

“Ya Allah, mereka ini sudah memasuki rumah ini, namun tak barangan berharga yang mereka temui. Sekarang ku pinta mereka untuk menghadap dan berdiri di pintu-Mu, jangan Engkau menghalang dan mencegah mereka dari mendapat reda dan ampun-Mu.”

Tanpa disangka, mereka terus mengerjakan solat sunat sehingga fajar menyinsing dan terus melangsaikan solat subuh. Kemudianlah baru mereka bersedia melangkah dari rumah Rabiah.

Akhir sekali, sewaktu pemergian Rabiah, hampir kesemua para ulama dan rumah Rabiah penuh dengan pengunjung yang risau akan keadaan Rabiah yang semakin tenat. Akhirnya masa telah tiba, dan waktunya untuk Rabiah mendapatkan kecintaan abadinya. Rabiah seraya menyuruh semua hadirin bangkit kerana mahu menghormati utusan Allah walhal tiada siapa yang melihatnya lantas akur. Setelah itu Rabiah menyuruh semua yang hadir agar keluar dari biliknya dan membiarkan Rabiah bersendirian bersama utusan Allah itu. Namun sebelum semuanya keluar, Rabiah memanggil Abdah untuk bersamanya dan membantunya untuk memaikan Rabiah purdah dan jubahnya itu.

Di saat hembusan nafasnya yang terakhir itu, saat itulah perginya seorang serikandi Islam. Yang ditinggalkan Rabiah hanyalah sebidang tikar sebagai tempat alas tidur dan beberapa takar yang digunakan untuk minum dan berwuduk. Tetapi Rabiah membawa buku amalan harian yang berhias dan bercorakkan bebunga iman dan takwa, serta disinari kesucian dan kemuliaan.

No comments:

Post a Comment