Serikandi Islam, Rabiatul Adawiyah.
Rabiatul Adawiyah, beliau merupakan puteri bongsu daripada 4
puteri Ismail al-Adawiy. Ismail al-Adawiy dan isterinya tinggal di sebuah
pondok bersama 3 orang puteri mereka di hujung sebuah perkampungan di kota
Basrah iaitu di Iraq.
Disebabkan kedhaifan keluarga mereka, menyebabkan Ismail
al-Adawiy agak sukar untuk mempersiapkan kelengkapan untuk cahaya mata yang
bakal mereka dapat kelak. Isteri Ismail amat berharap agar bayi yang bakal
lahir itu kelak adalah seorang lelaki kerana seandainya mereka mendapat bayi lelaki,
kelak bayi lelaki ini dapat melindungi kakak-kakak mereka apabila besar kelak.
Genap sembilan bulan, sekitar abad ke delapan tahun 713 -
717 masihi maka lahirlah seorang lagi ahli baru di dalam keluarga Ismail
al-Adawiy, anak tersebut merupakan anak bongsu di dalam keluarga daripada 4
adik beradik dan bayi tersebut disambut dengan begitu meriah oleh
kakak-kakaknya.
Tahukah anda, bahawa ketiga-tiga puteri Ismail al-Adawiy,
termasuklah puterinya yang keempat, Ismail al-Adawiy lah yang menjadi bidan
untuk isterinya kerana ketiadaan wang untuk mencari bidan. Dan Ismail al-Adawiy
jugalah yang telah mengiqamatkan keempat-empat puterinya.
Isteri Ismail amat berharap bayi bakal dilahirkan itu adalah
lelaki, namun tarbiah yang diterapkan di dalam keluarga Ismail sangat hebat dan
isterinya hanya redha kerana anak itu anugerah dari Allah untuk mereka
sekeluarga. Fahamlah isterinya bahawa anaknya itu adalah seorang perempuan
apabila telah ditenangkan oleh Ismail. Namun kehidupan mereka hanya cukup untuk
menampung keadaan keluarga mereka yang sedia ada dan tak mampu untuk
menyediakan walau sehelai kain untuk bayi yang baru dilahirkan itu. Ismail
al-Adawiy terpaksa meminta daripada jiran-jirannya untuk meminta bantuan kain
dan sedikit minyak untuk bayi mereka yang baru tersebut.
Namun Ismail pulang dengan kekecewaan apabila mendapati
kesemua jiran mereka tidak sudi untuk membantu mereka beralasan bahawa mereka
juga miskin dan tidak mampu untuk memberi kerana mereka juga serba kekurangan.
Meski tiada yang sudi membantu, Ismail dan isterinya tetap redha dan bersangka
baik. Mereka membaluti bayinya itu dengan sedikit kain yang mereka pakai.
Mereka sentiasa husnudzon (bersangka baik) barangkali Allah SWT mahu mempelihara
mereka dan bayi mereka itu daripada sebarang pemberian yang syubhah, yakni
tidak tahu halal dan haramnya.
Rabiatul Adawiyah atau Rabiah, nama tersebut telah
dicadangkan oleh suaminya sempena anak mereka yang keempat dan Rabiah membawa
maksud yang keempat. Namun isteri Ismail agak ragu-ragu untuk bersetuju kerana
beliau amat khuatir sekiranya Rabiah kelak bakal diejek dan ditertawa oleh
rakan-rakannya. Ketaatan isteri terhadap suami amat tinggi pada isteri Ismail
dan beliau redha apa sahaja keputusan yang dibuat oleh suaminya itu.
Sejak kelahiran Rabiah, Ismail al-Adawiy sudah beberapa hari
tidak keluar mencari rezeki. Ismail sememangnya dikenali ramai kerana beliau
merupakan seorang pekerja yang rajin dan dipercayai oleh masyarakat di Basrah.
Selain itu, Ismail juga adalah seorang yang alim lagi abid di dalam kalangan
mereka. Beliau sanggup mengambil upah kerja apa sahaja asalkan pekerjaan itu
tidak terlibat dengan perkara haram. Disebabkan bekalan makanan di rumah mereka
sudah berkurangan, beliau terpaksa untuk keluar mencari sesiapa sahaja yang
sudi mengupahnya bekerja.
Rezeki setiap hamba telah ditetapkan oleh Allah SWT,
ditakdirkan sedang Ismail mencari, beliau didatangi oleh seorang pemuda lalu
memberi salam kepadanya dan bertanyakan adakah beliau sanggup untuk diambil
upah bekerja sebagai guru bagi mengajar ilmu al-Quran kepada anak-anak Tuan
pemuda tersebut. Tuan pemuda tersebut merupakan seorang saudagar kain dan
Ismail lantas sahaja bersetuju dan semakin hari semakin ramai yang menjadi anak
muridnya tidak kira umur dan latar belakang, malah mereka gembira dapat
mempelajari ilmu al-Quran dari beliau apabila telah disarankan oleh penduduk kampung
kepada pemuda tersebut.
Telah ditakdirkan Allah juga, Ismail telah mendapat mimpi
yang aneh pada suatu malam. Ismail al-Adawiy merupakan seorang hamba yang
sentiasa menjaga amalannya seperti tadarus membaca al-Quran di waktu malam
sebelum beliau tidur dan bangkit semula di dua pertiga malam bagi mengerjakan
solat sunat tahajjud. Beliau telah bermimpi di datangi oleh seorang tetamu yang
sangat istimewa, iaitu Nabi Muhammad S.A.W.
Di dalam mimpinya beliau menyatakan bahawa Nabi Muhammad
berpesan kepadanya agar tidak bersedih dengan kesusahan yang mereka alami
apabila hadirnya Rabiah di dalam keluarga mereka. Ini kerana puteri bongsu
mereka, Rabiah, kelak bakal menjadi seorang wanita yang terhormat dan tinggi
darjatnya di sisi Allah dan Rasul-Nya. Malah Rasulullah juga mengkhabarkan
bahawa umat baginda dengan jumlah 70 puluh ribu orang memerlukan syafaat
daripada Rabiah di akhirat kelak. Di dalam mimpi tersebut juga terdapat pesanan
Rasulullah agar Ismail mengutuskan surat tentang apa yang berlaku padanya malam
tersebut dan dan segera berjumpa dengan penguasa Basrah, Sultan Isa Bajan.
Peristiwa Ismail bertemu dengan pemimpin Basrah, Sultan Isa
Bajan telah menjadi peristiwa aneh buat semua para menteri yang hadir di dalam
mesyuarat tersebut kerana dikatakan sewaktu itu Sultan Isa Bajan sedang
mengadakan mesyuarat bersama menteri. Dan apabila sampai sahaja surat tersebut
kepada Sultan, beliau terus turun bersama para penasihatnya bertemu Ismail di
pintu pagar istana bersama 400 dinar kepada si pembawa surat. Ismail seraya
pelik tentang wang yang diberikan secara tiba-tiba setelah Sultan membaca surat
tersebut yang berbunyi:
“Tuanku sudah melaksanakan solat sunat setiap malam seratus rakaat dan pada setiap malam Jumaat empat ratus rakaat. Namun pada malam Jumaat lepas, tuanku sudah meninggalkan empat ratus rakaat yang sepatutnya dilakukan. Oleh yang demikian, tuanku dikifarahkan sebanyak empat ratus dinar di atas kelalaian pihak tuanku dan duit itu perlu diserahkan kepada pembawa surat ini.”
Hal ini membuatkan Sultan Isa Bajan bertambah pelik
bagaimana ada orang boleh mengetahui perihal amalannya sedangkan hanya Allah
sahaja yang Maha Mengetahui setiap amalan hambaNya. Namun setelah diceritakan
bahawa Ismail telah bermimpikan Rasulullah, maka tidak syak lagi ia adalah
benar dan sahih.
Rabiah semakin membesar namun pengalaman kanak-kanak bagi
Rabiah amat berbeza dengan kanak-kanak yang lain. Sewaktu beliau berumur 10
tahun, Rabiah sudah menghafal sebanyak 30 juzuk al-Quran sedangkan waktu itu
kanak-kanak lain sedang sibuk bermain. Dikatakan juga oleh isteri Ismail bahawa
Rabiah tidak pernah sesekali meminta malah merungut atas apa sahaja pemberian
kepadanya. Dirinya sibuk mempelajari ilmu akhirat sejak dari kecil lagi. Maka
Ismail bercadang agar Rabiah mengasingkan diri daripada dunia kota Basrah yang
penuh dengan ujian dan dugaan. Ismail membina sebuah surau di luar kota dan
atas permintaan Rabiah agar beliau dapat menetap terus di sana diperkenankan
oleh Ismail agar Rabiah dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengabdiannya kepada
Rabb.
Maka saat ujian pertama menimpa Rabiah ialah sewaktu
pemergiaan bapanya, Ismail al-Adawiy yang telah pergi meninggalkan mereka
sekeluarga. Dikatakan bahawa sewaktu pemergian Ismail, hampir semua ulama’,
orang soleh, ahli ibadah dan golongan pemerintah di Basrah juga turun bagi
membantu mengebumikan Ismail al-Adawiy yang zuhud dan alim di kalangan
masyarakat Basrah. Ditelusuri pula isteri Ismail juga telah pergi meninggalkan
mereka setelah pemergiaan Ismail al-Adawiy.
Kakak-kakak Rabiah semakin risau akan Rabiah yang sering
berpuasa dan beribadat sahaja sehingga kurang makan dan minum. Rabiah juga digambarkan
beliau asyik berzikir dan beliau tidak sedikit pun menitiskan air mata sewaktu
pemergian kedua ibu bapanya. Namun bukanlah kerana beliau tidak sedih tetapi
kerana kecintaan Rabiah kepada Allah itu melebihi kecintaannya terhadap apa
sahaja di dunia. Tidak juga dinafikan bahawa Rasulullah tidak melarang umatnya
untuk menangis apabila adanya pemergiaan di antara sesama kita namun kita
dilarang untuk meratap.
Turunlah ujian kedua terbesar bagi Rabiah dan kakak-kakaknya
iaitu kemarau yang menimpa seluruh kota Basrah ketika itu menyebabkan mereka
kehabisan bekalan makanan dan akhirnya mereka bersetuju untuk keluar
bersama-sama untuk mencari sebarang pekerjaan untuk diambil upah untuk membeli
barang makan buat bekalan sementara waktu. Namun benarlah kata Rabiah bahawa
iman manusia ini sebenarnya nipis, ini dapat dibuktikan apabila hampir ke semua
masyarakat kota Basrah menjadi kedekut dan bakhil akan bekal makanan yang
mereka ada. Rabiah dan kakak-kakaknya tidak mahu meminta melainkan mereka telah
berusaha untuk memperolehnya dengan mengambil kerja upahan. Namun kemarau yang
melanda telah merosakkan tanaman penduduk di kota Basrah menyebabkan mereka
tidak dapat memperoleh sebarang pekerjaan dan mereka pulang ke pondok using
pusaka ayahnya dengan kekecewaan namun mereka tetap redha dan sentiasa
bersangka baik sambil membutirkan zikir di bibir.
Pernah diceritakan bahawa Rabiah pernah diculik sewaktu
beliau sedang berjalan menulusuri di sebuah lorong sunyi dan tiba-tiba matanya
menjadi kabur apabila merasakan seperti dipukul di kepalanya lantas terus
pengsan. Setelah sedar beliau dapati bahawa dirinya telah diculik dan dia bakal
dilelong kepada orang-orang kaya, tambahan keadaan kemarau yang menimpa
menyebabkan orang ramai memerlukan wang untuk membeli bekalan makanan buat
tempoh masa yang panjang. Namun Rabiah tetap senyum dan tenang kerana Rabiah
yakin Allah amat menyayanginya kerana itulah beliau diuji dan beliau tahu
bahawa selamanya beliau tidak akan ditimpa ujian kerana akan datang rahmat
Allah kelak dan Rabiah telah dijual oleh seorang lelaki gemuk.
Namun ketabahan Rabiah amatlah luar biasa, meski dikeji dan
dicela oleh majikannya, dijadikan mangsa melepaskan geram oleh tuannya, Rabiah
masih tetap tabah dan sentiasa memotivasikan dirinya dengan kisah-kisah
daripada al-Quran dan hadis-hadis. Seluruh darah dan detik nadi hanya mengalir
juga berdenyut pada rasa ingat,rindu dan cinta kepada Allah SWT. Rabiah selalu
bersyair dalam munajatnya yang berbunyi,
“Tuhan, aku adalah si miskin yang terdampar,Diseksa dan dihina malah dipukul,Diriku dibelenggu oleh perhambaan,Nilai kemerdekaan yang Engkau kurniakan sudah diragut,Aku juga menampung segala derita,Aku tetap sabar menerima dan menahannya,Namun, sekiranya singgah lagi ujian derita,Yang menodai jiwa dan menipiskan kesabaranku,Yang lebih perit deritanya daripada apa yang mampu ditanggung,Ia merobek dan menghancur luhurkan batinku,Ikhlas dan sabarku senipis salju,Tuhanku, gerangan apakah kebimbangan ini?Akan berubahkan pandanganMu kepada diriku?”
Itulah kemabukan cinta yang paling agung, dan orang yang
layak merasainya adalah Rabiah al-Adawiy.
Saban hari Rabiah sering berdoa agar dibebaskan daripada
menjadi hamba kepada makhlukNya sedang beliau mendambakan waktu sepenuhnya
untuk mengabdikan diri sebagai hamba kepadaNya sahaja.
Suatu hari sewaktu Rabiah diarah agar ke pasar untuk membeli
barang dapur tuannya, beliau telah melalui sebuah lorong sunyi dan tiba-tiba muncul
seperti kelibat seorang lelaki yang berwatakkan yang mencurigakan, Rabiah mengesyaki
dia ada berniat tidak baik kepadanya. Namun ditakdirkan Allah SWT sewaktu
sahaja lelaki itu cuba mendekatinya penduduk kampung datang dan segera
menyergah dan menangkap lelaki tersebut. Seusai pulang Rabiah dimaki dan
dihamun oleh tuannya kerana pulang lewat dan tuannya juga perasan akan balutan
yang ada pada tangan Rabiah. Tangan Rabiah telah patah akibat daripada
peristiwa dilorong tadi dan telah dirawat oleh seorang wanita. Perbicaraan oleh
tuan dan isteri tuannya itu membualkan soal Rabiah walaupun sudah cedera namun
masih lagi gagah dan kuat beribadah seperti membaca Quran dan solat. Itu telah
menimbulkan kehairanan bagi mereka adakah Rabiah tersebut adalah wali Allah?
Maka celakalah bagi mereka sekiranya mereka dapati Rabiah adalah waliyallah
kerana mereka telah melayan seorang waliyallah dengan layanan yang teruk
sekali.
Sesuatu yang aneh telah berlaku pada suatu malam apabila
tuannya mendengar suatu alunan suara yang merdu sepertinya di bilik Rabiah dan
mendapati bahawa Rabiah sedang sujud berdoa kepada Allah. Badan lelaki
menggeletar seluruh tubuhnya dan kembali ke bilik lantas memberitahu isterinya
bahawa mereka dalam masalah yang besar kerana benarlah Rabiah itu adalah
waliyallah kerana terdapat peristiwa aneh yang berlaku sewaktu di bilik Rabiah.
Lampu api yang dibekalkan oleh tuannya kepada Rabiah hanyalah lampu pelita yang
kecil namun sewaktu tuannya itu sedang melihat Rabiah dibiliknya, seolah-olah
lampu itu menyala sangatlah terang dan seakan mahu menerkamnya dan
memberitahunya bahawa dia tidak layak berada di situ.
Dengan izin Allah SWT, akhirnya Rabiah telah dibebaskan dan
Rabiah membuat keputusan mahu pulang ke kota Basrah. Dengan bantuan kabilah di
sana beliau pulang semula ke kota Basrah dan segera ke pondok using pusaka
ayahnya namun kakak-kakaknya telah lama meninggalkan pondok tersebut setelah
mendapati kehilangan adik mereka iaitu Rabiah, dikatakan oleh jirannya. Rabiah
cuba untuk menyara diri namun tiada pekerjaan yang dapat dilakukannya kerana
pekerjaan di kota telah dimonopoli oleh lelaki.
Saat itu kota Basrah amat dipengaruhi dengan aliran sufi
yang berkembang. Salah seorang ulama’ yang berjaya mendapat perhatian penduduk
Basrah adalah Syeikh Hasan bin Abi Hasan. Suasana kota Basrah telah berubah,
penduduknya berpakaian pakaian seperti orang yang zuhud kerana pengaruh tarekat
sufi yang ada di kota tersebut. Rabiah di sarankan untuk menyertai kumpulan
zikir yang diketuai oleh Syeikh Hasan bin Abi Hasan lalu Rabiah telah
bertanyakan kepada para ulama’ dan para alim di kota tersebut. Jawapan yang
beliau peroleh bergantung kepada siapa beliau bertanyakan kerana terdapat
pelbagai jawapan yang berbeza dan memeningkan. Lalu Rabiah melakukan istikharah
meminta petunjuk daripada Allah SWT dan ternyata jiwanya yang halus amat sesuai
dengan aliran sufi.
Nama Rabiah sering kali disebut-sebut oleh masyarakat Basrah
kerana kehandalannya dalam mengalunkan bunyi seruling dan zikir yang dapat
mengembalikan rindu seseorang hamba itu kepada Allah. Bermakna kemerduannya
tidak asing, dapat mememabukkan seseorang itu untuk berzikir mencintai Allah
SWT. Malah bukan sahaja rakyat biasa yang menghadiri majlis zikir itu, malah
para ulama’ kota Basrah juga turut menghadirkan diri bersama-sama bermunajat
membasahi bibir dengan alunan zikrullah. Rabiah kini diangkat darjatnya sebagai
ulama’ kerana ilmunya yang hebat dan beliau sering didatangi oleh para ulama’
serta gurunya sendiri juga merujuk dan berguru dengannya kerana ilmunya
terutama dalam bidang kesufian yang setaraf dengan para ulama’.
Rabiah juga dikurniakan seorang anak murid yang bernama
Abdah atau nama sebenarnya Abdah binti Abi Syawal yakni anak murid pertama dan
paling lama dengannya. Rabiah memilih Abdah kerana sifat yang ditonjolkan oleh
Abdah ada mirip dengan dirinya. Menurut Abdah, Rabiah yakni gurunya telah
berhenti daripada menyertai majlis zikir kerana beliau sudah nampak kesan yang
selama ini ditakuti olehnya. Kata Rabiah kepada Abdah, beliau amat takut
sekiranya mereka yang hadir ke majlis zikir itu kerana dirinya bukan kerana
Allah, Rabiah khuatir mereka menganggap nikmat zikir itu dapat dirasakan
apabila dengan seruan dan tiupan seruling Rabiah walhal ianya hanyalah
penyebab. Pernah diceritakan bahawa telah datang sekumpulan wanita datang
memujuk Rabiah namum pendirian Rabiah tetap kerana beliau mahu menghabiskan
masa beruzlah atau terus mengabdikan diri kepada Allah secara berterusan dan
majlis zikir tersebut beliau telah serahkan kepada sesiapa sahaja yang
selayaknya agar mereka yang hadir majlis zikir itu dapat tajdid (perbaharui) semula
niat mereka kerana Allah SWT sahaja.
Abdah merupakah insan yang paling rapat dengan Rabiah dan
beliau telah menghabiskan masa mudanya bersama Rabiah. Abdah merupakan tempat
orang ramai bertanyakan perihal gurunya kerana Abdah adalah orang yang paling rapat
serta paling dipercayai. Menurut Abdah binti Abi Syawal, gurunya itu, Rabiah,
tidak pernah menghabiskan waktu malamnya selepas waktu Isha’ melainkan dengan
solat dan ibadah sehingga fajar. Lalu Rabiah akan berehat sebentar dengan
melelapkan matanya. Hanya seketika kemudian, guru bangkit dan seraya bersyair,
“Wahai diri,Berapakah lamanya kau perlukan bagi melelapkan dirimu,Sampai bila pula dirimu akan terbaring,Hampir sahaja dirimu terlelap lena dalam perbaringanmu,Hampir juga terus engkau tidak mampu bangkit,Kecuali tatkala sangkala ditiupkan,Ketika manusia lena dibuai nikmatnya tidur,Maka bangkitlah diri ini dan wajibkan dirimu,Kerana diri ini akan mendatangi-Nya”
Lama kelamaan
kedewasaan Rabiah telah mencapai umur yang mana orang kata sudah molek untuk
berumah tangga. Namun bagi Rabiah, perkahwinan adalah satu tuntutan fitrah
malah ia juga sunnah bagi melengkapkan fitrah manusia namun bukan bagi Rabiah
kerana nafsu Rabiah telah lama ditundukkan kerana beliau sudah mendapat cinta
yang Hakiki. Ramai yang telah cuba untuk masuk meminang Rabiah, namun
kesemuanya pulang dengan kekecewaan. Begitu jugalah bagi Sultan Muhammad
Hasyimi yakni Raja di kota Basrah ketika itu, lamaran baginda juga ditolak
dengan lembut oleh Rabiah, fahamlah raja tersebut bahawa maqam Rabiah terlalu
tinggi dan beliau tidak layak untuk Rabiah.
Pernah juga diceritakan bahawa Abdul Wahid bin Zaid yakni
sahabat seperjuangan Rabiah sewaktu beliau bersama-sama menuntut ilmu bersama
Rabiah dahulu juga pernah cuba untuk melamar Rabiah dengan cubaan pertamanya
beliau telah menghantar anak pondoknya iaitu Abdullah untuk menyampaikan
hasratnya itu lantas ditolak dengan lembut. Namun sikap tidak putus asa Abdul
Wahid menyebabkan beliau telah mencuba kali kedua dan beliau telah ditolak
dengan keras oleh Rabiah kerana tidak mempercayai bahawa dia sanggup melakukan
sebegitu meski beliau sudah memahami bagaimana Rabiah itu sewaktu mereka bersama-sama
menuntut ilmu.
Suatu hari Hasan Al-Basri iaitu seorang ulama di kota Basrah
telah datang melawat Rabiah. Pernah ditanyakan kepada Rabiah adakah Rabiah mahu
bernikah namun jawab Rabiah tenang sahaja kerana beliau tidak memerlukan
perkahwinan tambahan beliau sudah bernazar agar tidak akan berkahwin sehingga
akhir hayat dan mahu mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah sepanjang
hidupnya.
Rabiah sangatlah zuhud dikalangan para ulama dan ahli ibadat
di kota Basrah. Dikatakan rumah Rabiah tidak mempunyai sebarang perabot
melainkan tikar lama yang diperbuat daripada pelepah tamar. Kedhaifan hidup Rabiah
telah didatangi ramai pengunjung yang mahu menyedekahkan makanan, serta wang
untuknya kerana kasihan melihat Rabiah yang hidup miskin. Namun tiada satu pun
hadiah yang diterima oleh Rabiah.
Pernah suatu hari Sufian Al-Tsauri, ulama sufi datang
bertemu Rabiah. Pelbagai persoalan ditanyakan kepada Rabiah. Jika mahu
diceritakan terlalu banyak namun yang menarik bagi saya ialah apabila Rabiah
ditanyakan soalan berkaitan soal pemurah bagi Rabiah oleh Sufian al-Tsauri,
jawab Rabiah ialah,
“Pemurah itu maksudnya apabila kita mengabdikan diri semata-mata kerana mengharapkan cinta daripada Allah. Pada masa yang sama, kita tak sekalipun mengharap balasan daripada-Nya.”
Suatu hari pernah sekali rumah Rabiah dicerobohi pencuri,
namun keadaan rumah yang gelap menyebabkan pencuri tidak menyedari keadaan
Rabiah di sana. Pencuri itu datang dengan penuh harapan namun apa yang mereka
dapat adalah kekecewaan dan hampa kerana yang ada di dalam rumah tersebut
hanyalah sebuah takar diperbuat daripada tanah sahaja.
Tiba-tiba muncul satu suara menyuruh mereka agar mengambil
sesuatu dari rumah itu dan pulang dengan sesuatu lantas pencuri itu mencari
lagi dan yang mereka dapati hanyalah sebuah takar tadi sahaja. Lantas Rabiah
menyuruh mereka ambil takar itu dan segera ambil wudhuk dan lakukanlah solat
sunat dua rakaat. Dengan cara itu mereka akan pulang dengan sesuatu. Namun
kata-kata itu bak anak panah yang menusuk sanu bari, tepat. Tanpa dipaksa menurut kata-kata Rabiah,
mereka segera melakukan solat sunat dua rakaat. Usai itu Rabiah terus
mengangkat tangan dan menadahkan tangan seraya berdoa dengan sebak,
“Ya Allah, mereka ini sudah memasuki rumah ini, namun tak barangan berharga yang mereka temui. Sekarang ku pinta mereka untuk menghadap dan berdiri di pintu-Mu, jangan Engkau menghalang dan mencegah mereka dari mendapat reda dan ampun-Mu.”
Tanpa disangka, mereka terus mengerjakan solat sunat
sehingga fajar menyinsing dan terus melangsaikan solat subuh. Kemudianlah baru
mereka bersedia melangkah dari rumah Rabiah.
Akhir sekali, sewaktu pemergian Rabiah, hampir kesemua para
ulama dan rumah Rabiah penuh dengan pengunjung yang risau akan keadaan Rabiah
yang semakin tenat. Akhirnya masa telah tiba, dan waktunya untuk Rabiah
mendapatkan kecintaan abadinya. Rabiah seraya menyuruh semua hadirin bangkit
kerana mahu menghormati utusan Allah walhal tiada siapa yang melihatnya lantas
akur. Setelah itu Rabiah menyuruh semua yang hadir agar keluar dari biliknya
dan membiarkan Rabiah bersendirian bersama utusan Allah itu. Namun sebelum
semuanya keluar, Rabiah memanggil Abdah untuk bersamanya dan membantunya untuk
memaikan Rabiah purdah dan jubahnya itu.
Di saat hembusan nafasnya yang terakhir itu, saat itulah
perginya seorang serikandi Islam. Yang ditinggalkan Rabiah hanyalah sebidang
tikar sebagai tempat alas tidur dan beberapa takar yang digunakan untuk minum
dan berwuduk. Tetapi Rabiah membawa buku amalan harian yang berhias dan
bercorakkan bebunga iman dan takwa, serta disinari kesucian dan kemuliaan.